Saturday, January 12, 2008

Tunku Aminah : Luvins


Quoted from Utusan Malaysia Online, January 12, 2008 :


Luvins resipi kecantikan puteri raja
Oleh MERAN ABU BAKAR

Biarpun bergelar puteri raja, namun Tunku Aminah mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan sentiasa mengukir senyuman manis di bibir.

MEGA berasa begitu bertuah kerana buat pertama kali bagi mana-mana penerbitan tanah air dapat merakamkan foto-foto eksklusif puteri tunggal Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah, 21 tahun.

Mewarisi kejelitaan bondanya, kehadiran Tunku Aminah Maimunah Iskandariah di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur mencuri pandangan kakitangan lain yang ingin melihat puteri jelita ini dari dekat.

Biarpun bergelar puteri raja dan dilahirkan di ‘dalam dulang emas’ namun Tunku Aminah mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan sentiasa mengukir senyuman manis di bibir.

Sikap merendah dirinya membuatkan kita berasa begitu tingginya budi bahasa dan didikan yang diberikan oleh ayahanda dan bondanya sehingga membuatkan sesiapa saja tidak berasa kekok berbual dengannya.

Sesuatu yang menarik dan menyentuh hati yang terkeluar daripada bibir mungilnya ialah ‘kita semua adalah manusia biasa dan sebagai orang Islam, kita semua sama sahaja.’

Sebagai anak gadis yang sedang meniti usia remaja, satu-satunya puteri daripada enam adik-beradik ini tidak terkecuali sukakan kecantikan dan ingin berkongsi pengertian kecantikan dengan yang lain.

“Saya akui kebenaran pendapat bahawa kecantikan sebenar lahir daripada dalam jiwa dan bukan setakat luaran. Kecantikan yang terserlah daripada jiwa yang tulus ikhlas akan terpancar pada wajah,’’ kata Tunku Aminah polos.

Tambah beliau, bukan semua orang bertuah kerana dilahirkan dengan paras wajah yang jelita. Namun janganlah pula berasa rendah diri kerana setiap yang dimiliki adalah anugerah Allah dan hanya Allah yang Maha Mengetahui akan pemberian-Nya.

Tanda kasih sayang

Katanya, paras wajah tidak boleh diubah namun sebagai wanita, kita boleh berusaha bagi mendapatkan kulit yang cantik, sihat dan halus.

Justeru, lahirlah Luvins The Royal Art of Beauty, rangkaian set penjagaan kulit daripada Tunku Aminah khusus bagi setiap wanita tidak kira peringkat umur. Luvins dikilangkan di kilang Mum Bio-Cos Manufacturing di Johor Bahru.

Luvins yang bermakna ‘Luv Ina’ diilhamkan oleh Tunku Aminah sendiri dan ia sebagai tanda kasih sayang beliau kepada para pengguna produk tersebut.

Beliau sendiri yang bertindak sebagai Pengarah dan Pereka Luvins mendapat banyak dorongan daripada kedua-dua ayahanda dan bondanya.

“Saya mahu bermula awal dalam bidang perniagaan kecantikan kerana ia menjadi salah satu minat saya selain ingin berjaya sebagai pereka fesyen,’’ ujarnya.

Sebagai pereka Luvins, Tunku Aminah sendiri yang mereka bentuk botol, melukis gambar wanita dan mahkota yang terdapat pada beg kepit merah jambu berisi produk Luvins.

“Selain dijual di spa dan salun, saya bercadang untuk memasarkan Luvins di gedung membeli-belah. Salun rambut dan spa Luvins kini sedang dalam pembinaan di Johor Bahru. Dalam tempoh enam bulan lagi, insya-Allah saya akan mengeluarkan mekap, wangian dan syampu pula. Cuma buat masa ini saya ingin memberi tumpuan kepada rangkaian penjagaan kulit,’’ katanya.

Tunku Aminah menasihatkan remaja yang masih mencari-cari produk yang sesuai dengan kulit mereka agar mencuba Luvins dan bersabar menunggu hasilnya. Jangan berputus asa jika belum ada perubahan dalam masa seminggu.

Beliau sendiri banyak mencuba produk kecantikan bagi mencari yang sesuai dengan kulitnya.
Menyentuh mengenai trend wanita yang gemar melakukan pembedahan plastik atau menyuntik botox, Tunku Aminah berkata, jika wajah seseorang itu menjadi cacat dan hodoh kerana kemalangan, mungkin pembedahan plastik atau suntikan botox dibolehkan.

“Tetapi setakat mahu membetulkan hidung yang tidak mancung, bibir yang tebal dan sebagainya, rasanya tidak perlu kerana sebagai orang Islam kita harus bersyukur dengan apa yang kita miliki,” tambahnya.

Pada masa-masa depan, Tunku Aminah mungkin akan mengeluarkan produk fesyen seperti jeans, baju dan sebagainya yang direka sendiri.

“Ayahanda dan bonda banyak memberi dorongan dan saya sedikit pun tidak rasa terkongkong ataupun disuruh mengikut apa yang telah mereka rancangkan untuk saya. Pada saya, lagi cepat saya melibatkan diri dalam bidang ini lagi banyak yang saya boleh belajar,’’ ujar Tunku Aminah yang berkelulusan Higher School Certificate dari Australian International School Singapura.

Dalam pada itu, kata Tunku Aminah, beliau sering diingatkan tentang batas-batas yang perlu dipatuhi sebagai seorang puteri raja. Mematuhi disiplin paling penting dan setiap pergerakan akan diperhatikan supaya beliau tidak lalai.

“Saya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang begitu memahami, penuh dengan kasih sayang dan bersikap merendah diri. Keluarga memberi kebebasan kepada saya memilih apa yang saya suka asalkan pandai menjaga diri,’’ katanya yang mempunyai ramai kawan daripada rakyat biasa.

“Hubungan kami sekeluarga mesra sama sahaja seperti keluarga lain. Kami adik beradik boleh berjumpa atau berbual dengan ayahanda dan bonda bila-bila masa. Kami menonton televisyen bersama dan sebagainya. Jika ada yang berpendapat kami perlu akur kepada protokol iaitu perlu ada masa-masa tertentu untuk berjumpa mereka, itu tidak betul,’’ ujarnya.

Mengenai jodoh kata Tunku Aminah, ayahanda dan bondanya menyerahkan kepadanya untuk memilih sendiri. Apa yang penting beliau bahagia dengan pilihannya.

Menarik mengenai Tunku Aminah Maimunah Iskandariah

* Panggilan manja: Tunku Inah.
* Hobi: Menunggang kuda, memandu dan melukis. Belajar menunggang kuda semasa berumur 11 tahun dan mewarisi bakat ibu yang suka melukis.
* Fesyen kegemaran: Juicy Couture, Zara, Bebe dan Topshop.
* Cita-cita: Ingin menjadi pereka fesyen berjaya.
* Kerjaya: Pengarah dan pereka Luvins.
* Haiwan peliharaan: Seekor kucing Scottish bernama Tod, burung kakaktua Fred, kuda bernama Negrita dan ular sawa.
* Suka wangian: Romance by Ralph Lauren.
* Makanan yang disukai: Kuey teow, pasta dan risotto.
* Warna kesukaan:Firus.
* Aksesori: Suka cincin dan gelang. Kurang menyukai rantai dan anting-anting.
* Walaupun puteri tunggal, dilayan sama seperti adik-beradik lain oleh bonda, namun katanya ayahanda tegas sedikit tetapi boleh manja-manja.
* Petua ninda Tunku Aminah untuk menjaga kecantikan kulit: Sapu embun pada wajah setiap pagi bagi menegangkan kulit.
* Petua lain yang dibuat untuk menghilangkan jerawat ialah dengan mencampurkan putih telur bersama madu lebah dan limau kasturi. Kacau dan sapu pada wajah seperti memakai masker.
Biar setengah jam, ruam merah akan hilang dan jerawat kering. Namun tidak boleh diamalkan selalu kerana kulit akan menjadi kering.

9 comments:

Tunku Ashrul said...

Hi, Ku Inah....
You're so cute and beauty like ur cousin Ku Yaya...Ku Hassan daughter... :)

Anonymous said...

hi,Ku Inah..
Saye Raziman(Iman)
Saye berminat untuk berkongsi
tentang perniagaan ku inah,
Saya harap agar Ku Inah dpat m'nghantar profilr syarikat dan jenis-jenis produk..kepada
razy_iman@yahoo.com

Sekian.Wassalam

fAtIN said...

hi ku inah
u r so beauty and fantastic
i like to know bout your product either
do email me at
fatin_foggy@yahoo.com
btw, im fatin
=)

Unknown said...

Assalamualikum Tunku Aminah,

Moga sentiasa di rahmati Allah S.W.T. Saya fazlie, anak kelahiran jati Johor.

Sebagai anak muda dan rakyat jelata Johor saya amat bangga diatas usaha Ku Inah dalam bidang perniagaan kerana ia adalah Sunnah Rasulullah S.A.W.

Saya juga menyahut cabaran dalam perniagaan seperti Ku Inah , tetapi didalam khidmat newswire services on Islamic Finance.

selamat maju jaya dan saya juga turut berminat menjadi rakan niaga produk "Luvin" yang saya percaya boleh dipasarkan diluar negara terutama di middle east country..

Dis is my email fazliem@hotmail.com

Take care

Wassalam

fazlie

yaa_fieza said...

sangat cantikk..........

ainie said...

Cekom..hi,ku inah...saya ingin tahu kat mne nk dptkan produk ini... taniah sbb dh ada prnigaan sndiri...

valkyriez said...

there's no other beauty like a princess

valkyriez said...

Peace be unto you,..Ku Inah,..How bout you try this for your Slogan,..'Brave,Sharp,Beauty and Elegant',..or,'There's No Other Beauty Like A Princess'.

shah_rfvsb said...

Assalamualaikum Ku Inah...

Saya berasa bangga menjadi rakyat dan anak kelahiran Johor kerana mempunyai Keluarga Di-Raja yang amat rapat dengan rakyat.

Saya doakan agar Ku Inah sekeluarga sentiasa dalam keadaan yang sihat serta mendapat kejayaan dalam apa jua yang Ku Inah lakukan...

Insyallah... :)